Takkan Islam Hilang di Duniawww.iluvislam.comAmeenAliffEditor: deynarashid
ISLAM? Apa sebenarnya Islam? Aku tidak pernah tahu. Sepanjang aku sudah tahu membaca, tidak pernah aku terbaca perkataan itu. Apa itu Islam? Ketika jiwa aku terasa kosong, aku teringat kata arwah datuk, “Kita ni orang Islam, Daniel. Kalau kamu terasa kosong, bacalah Quran, banyakkan sembahyang dan zikir malam. Islam itu agama dari langit. Nabinya Muhammad, Quran kitabnya dan ALLAH itu tuhan yang berhak disembah. Sembahyang itu maknanya; sembah Yang Maha Esa,”. Itu kata datuk. Muhammad itu siapa? Quran itu apa? ALLAH? Tuhan itu apa? Untuk siapa? “Jangan dicari Islam,”. Bill menegahku ketika aku bercerita tentang Islam. Islam itu tidak lain hanyalah hijab yang membataskan minda. “Tetapi, dari apa yang aku baca, Melayu adalah Islam. Jadi aku adalah Islam,”. Bill mendengus. Segalanya kedengaran Islam dan Melayu hanya akan membuntukan minda kita. Sebab itulah orang Melayu pada abad ke-21 tidak maju. Pemikiran mereka disempitkan dengan fahaman dan idealisme Islam dan Melayu, Bill menambah. “Islam dan Melayu tidak akan maju?”. Bip. Satu mesej diterima. Malam ini konsert sempena tahun baru. Konsert besar-besaran. “Hiburan lagi,”. Meggeleng-gelengkan kepala. Aku teringat, hiburan seperti ini dahulu pernah dibantah oleh rakyat. Kerana ini semua duniawi kata mereka. Santapan rohani yang merosakkan minda dan melalaikan iman. Iman? Apa iman? Aku tidak tahu. Tetapi sekarang, semuanya berlumba-lumba menganjurkan pesta yang segala macam. “Hiburan itu hanya santapan untuk mereka yang mengejar dunia. Mereka yang tidak percaya hidup yang sebenarnya. Mereka yang jiwanya kosong,” pesan datuk kepadaku dahulu. Tetapi, sekarang, jiwa aku kosong. Hiburan ini tidak pernah dapat memenuhi jiwa aku. “Bukalah Quran, sebutlah nama ALLAH, dekati agamaNYA. Dekati ISLAM. Itulah santapan jiwa sebenarnya,”. Aku tidak tahu apa itu agama. Tidak tahu Quran, tidak kenal Islam. ALLAH lagi tidak pernah aku dengar namanya. Jiwaku tandus, gersang dan perlu dibasahi. Tetapi aku tidak tahu dengan apa hendak dibasahkan. Dengan apa? Haruskah dibasahi dengan arak yang pelbagai macam atau keringat ketika berpesta sakan? Menatap segala macam kemajuan? Dengan agama? Tetapi aku tidak pernah mengenal agama. Mengeluh. Menoleh keluar jendela. Banggunan pencakar langit memenuhi segenap isi mayapada. Diantaranya, Menara Berkembar Petronas tersergam layu. Diteliti banggunan itu. “Dulu, KLCC tu pernah jadi kebanggaan kita. Bukti kejayaan kita dalam bidang kejuruteraan moden,”. Itu kata-kata datuk. Tetapi sekarang banggunan itu tidak sampai separuh pun dari banggunan lain sekarang. “Kita sudah maju Daniel. Kita dapat berdiri sama tinggi, duduk pun sudah sama rendah dengan negara Barat. Semua ini kerana kita,”. Bill menepuk dadanya. “Bukan kerana Islam. Islam tidak dapat memajukan kita. Tidak dapat mendirikan banggunan kita. Tidak dapat menerbangkan pesawat laju kita. Islam ialah hijab yang harus kita buka. Pekung yang perlu kita tinggalkan,”. Kemajuan, kemajuan dan kemajuan, tetapi untuk apa? Pesawat laju berterbangan memenuhi ruang angkasa Kuala Lumpur tidak pernah mententeramkan aku. Banggunan tinggi-tinggi mencakar langit Malyasia tidak pernah memenuhi jiwa aku. Kemajuan ini untuk apa? Untuk siapa? Selepas dicapai semua, selepas itu apa? Sampai bila baru kita akan puas? Sampai kiamat? “Kiamat?”. Aku membuka laman web yang lain. Bip. Terpapar satu window mengenai kiamat. “Kiamat, hari pengakhiran dunia dan seluruh isinya. Manusia dan semuanya akan dimatikan. Dibangkitkan dari kematian menuju mahsyar. Tidak akan dibawa mereka untuk dihisab selain amalan semasa hidup”. “Apa salahnya berhibur jika itu menyenangkan kita? Kenapa perlu bersusah beribadat siang malam? Kenapa perlu berlapar sampai sebulan? Kenapa? Datuk sekarang diuji dengan penyakit yang entah dari mana datangnya. Kalau agama itu benar, kenapa hendak menyusahkan kita?”. Aku bertanya ketika melawat datuk. Aku masih berhingus waktu datuk sakit dahulu. “Dalam Islam, apa yang dikejar oleh umat-Nya ialah syurga. Syurga dan neraka itu tempat yang akan kita abadi tinggal di dalamnya,”. “Jadi?”. “Jadi apa?”. “Kenapa perlu menyeksa diri”. “Bukan menyeksa diri,cu. Bukan. Ini ujian kita. Untuk menguji iman kita. Syurga itu dindingnya dibina dari segala kepayahan. Neraka pula,dindingnya dari segala macam kesenangan dunia,”.“Bila kita akan pergi ke sana?”“Ke mana?”“Syurga?”“Kita semua tidak pasti di mana kita akan berada. Entah syurga, entah neraka. Tetapi apa yang pasti,kita akan pergi ke sana setelah datang kiamat. Kemudian kita akan dihisab. Yang baik, yang buruk, semuanya ditimbang. Selepas itu barulah kita akan ke syurga atau ke neraka,”. Syurga? Neraka? Ah entah di hujung dunia yang mana kedua-dua tempat itu? “Bill, aku ingin mencari Islam,”. “Jika Islam yang kau cari, kau tidak akan jumpa di sini. Islam itu hanya di muzium, di arkib negara. Di sini, apa yang kau akan jumpa ialah kemajuan. Kalau ada pun cuma imam, bilal dan siak masjid yang hidup segan mati tak mahu. Sekarang apa yang kita mahu ialah sains dan teknologi”. “Tapi kau pun sama seperti aku, Melayu. Datuk nenek kita juga Melayu. Melayu itu Islam. Jadi kau pun Islam, Bill,”. “Heh! Melayu? Islam?”. Bill ketawa. “Aku hendak guna nama Melayu pun aku tak mahu. Kau hendak cakap aku Melayu?”. Ketawa. Lebih galak dari tadi. Ketawanya menyindir. “Kenapa kau beriya-iya hendak mencari Islam?”. Ketawanya reda sedikit. “Jiwa aku kosong,”. “Kosong? Pergilah berhibur. Kebetulan malam ini ada keramaian. Kau boleh dapat perempuan, arak dan segala macam pil yang buat kau rasa macam di syurga,”. “Syurga? Begitu mudah kau dapat rasa syurga?”. Bill senyum dan mengangguk kepala. Tidak seperti kata datuknya. Hendak masuk syurga, perlu diuji dengan ujian yang menyeksakan. Terlentang sakit yang entah apa sebabnya, entah apa ubatnya. Syurga Bill, begitu mudah diperoleh. Jalan lain ke syurga katanya sejak dari dahulu. “Iya Daniel. Syurga, kau akan rasa bebas, sebebas-bebasnya,”. “Lepas itu? Selepas itu apa?”. “Selepas itu? Apa maksud kau?”. “Selepas aku tersedar. Selepas kesan pil itu habis?”. “Kita ambil sekali lagi,”. “Kemudian? Sekali lagi?”. Bill mengangguk. “Sampai bila? Sampai bila terus ambil pil itu? Sampai semuanya habis kita makan? Ataupun sampai badan kita sudah lali dengan kesannya? Selepas itu apa pula? Mencuba pil baru?”. “Ya! Kau sudah faham sekarang, Daniel,”. Bahuku ditepuk. Bill mengangguk. Senyumannya lebar, lebar selebar-lebarnya. “Tapi..”. “Tapi apa lagi Daniel? Kau masih lagi hendak mencari Islam? Mencari Islam untuk memenuhi kekosongan jiwa kau? Karut! Itu semua karut Daniel. Sekarang kita sudah maju. Nah, sekarang semuanya ada pada teknologi. Teknologi boleh beri kta semua,”. Satu bungkusan kecil dikeluarkan. Pil berwarna-warni penuh di dalamnya. “Cubalah. Kau akan dapat syurga. Kau tak akan lagi mencari Islam,”. “Tapi..”. “Apa?”. “Aku bukan tikus makmal, Bill. Cuba mendapatkan syurga dari teknologi. Aku percaya, ada yang syurga lebih besar dari semua teknologi ini. Syurga yang lebih indah dari apa yang kau gambarkan. Syurga yang cahayanya hanya kau akan jumpa dari nur yang sebenar-beanrnya dan bukannya dari limpahan cahaya lampu neon. Aku mesti mencari Islam,”. “Bill..”. Aku merapati Bill. Memegang bahunya. “Kalau Hang Tuah berkata; tak akan Melayu hilang di dunia, aku pula percaya, tak akan Islam hilang di dunia,”.
Wednesday, January 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment